Amanat Terakhir Nabi Muhammad s.a.w Sebelum Wafat

Amanat Terakhir Nabi Muhammad s.a.w Sebelum Wafat

SEBELUM baginda wafat, ada banyak perkara buruk yang diperingati junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. Antaranya ialah:
Umat Islam akan melakukan penyelewengan dari ajaran Islam yang sebenar, seperti yang dilakukan kaum Bani Israil.Baginda menyebut perihal kaum Bani Israil kerana penyelewengan mereka adalah seburuk-buruk contoh yang wajib dijauhi dan disingkirkan.
Meskipun mereka pada mulanya diberikan pelbagai nikmat dan keistimewaan, diturunkan kepada mereka kitab suci dan diutuskan beberapa banyak nabi dan rasul, tetapi kebanyakan mereka tetap kufur, ingkar dan terus melakukan pelbagai jenayah serta kekejaman di sepanjang sejarah kaum itu.
Mereka sudah runtuh akhlaknya, hilang lenyap perikemanusiaannya dan berpecah-belah kepada pelbagai puak dalam kepercayaan dan fahamannya serta mengadakan pelbagai helah untuk memutarbelitkan ajaran dan hukum agama.
Mereka juga menimbul dan mengembangkan pelbagai fahaman seperti fahaman komunis, kapitalis dan sebagainya yang merosakkan ketenteraman dan susunan masyarakat serta perekonomian negara dunia yang dijalarinya.Bahkan, merekalah yang mengembangkan kebudayaan kuning dan melanggar tata tertib serta kesopanan melalui filem, akhbar, majalah, fesyen pakaian dan kelab malamnya sehingga mereka berhak dilaknat Allah, malaikat, rasul dan seluruh umat manusia yang berperikemanusiaan.
Baginda juga pernah mengingatkan dengan tegas sebagaimana yang disebut dalam salah satu hadisnya iaitu bahawa umatnya akan terpengaruh dan menjadi pak turut dengan membuta tuli kepada segala apa jua yang datangnya dari kaum Yahudi dan Nasrani.Rasulullah s.a.w. menyebut kedua-dua kaum itu secara khusus kerana selain diutuskan rasul, merekalah saja yang berpengaruh dan banyak angkara pada zaman Rasulullah.
Kalau kita diingatkan supaya jangan terpengaruh dengan penyelewengan kaum yang diberikan kitab dan pimpinan itu, maka wajib kita menolak bulat-bulat segala apa yang cuba disogokkan kaum yang tidak diberikan kitab dan tidak pula menerima pimpinan rasul.Contohnya, kaum Majusi, komunis, atheis dan sebagainya yang cuba menyogok kita dengan perkara yang bertentangan dengan dasar Islam seperti yang berlaku dan dapat disaksikan pada zaman kita ini.
Apa yang diperingatkan Rasulullah s.a.w. mengenai penyelewengan yang akan berlaku di kalangan umatnya itu sudah pun berlaku dan menjadi kenyataan. Pada zaman sekarang ada orang Islam yang suka meniru bulat-bulat apa yang datang daripada orang bukan Islam, meskipun perkara yang ditiru itu bertentangan dengan ajaran dan akhlak Islam.
Antara perkara itu ialah perbuatan sesetengah wanita Islam, selain tidak mematuhi al-Quran yang menyuruh mereka menutup kepala meliputi belahan leher bajunya, mereka pula membesarkan hiasan kepalanya dengan pelbagai cara termasuk menggunakan rambut palsu.
Ada pula yang menghaluskan bulu keningnya. Ada yang berpakaian tetapi mereka seolah-olah telanjang kerana nipisnya kain dan tidak menutup aurat. Ada juga yang berjalan di khalayak ramai dengan cara tidak sopan seperti lagak perempuan jahat
.Ada juga perempuan yang memakai pakaian lelaki serta berlagak seperti lelaki sedangkan segala perbuatan sedemikian dikutuk Islam. Selain itu, ada wanita yang rela mempamerkan badannya seperti menggunakan pakaian yang sempit dan singkat, mendedahkan aurat, sengaja memperlihatkan bentuk badan dan sebagainya yang bertentangan dengan hukum dan kesopanan Islam.
Ada wanita yang keluar dari rumah dengan menggunakan pelbagai hiasan yang menarik perhatian dengan menggunakan berjenis-jenis bedak muka dan gincu bibir serta memakai bau-bauan yang harum. Pada hal, semua itu dan segala perhiasan digalakkan dilakukan di rumah khusus untuk suaminya.

"Wanita Islam dilarang memperlihatkan hiasan tubuhnya kecuali kepada suami dan orang lelaki yang menjadi mahramnya serta orang yang tertentu." (Surah Al-Nur: 31).

Lelaki juga tidak terkecuali daripada perkara buruk. Ada lelaki Islam yang sudah hilang perasaan cemburu terhadap isterinya serta perempuan di bawah jagaannya, sehingga dia hampir-hampir bersifat seperti orang dayus yang dikutuk Islam dan diharamkan Allah daripada memasuki syurga-Nya.
Ada juga lelaki yang berlagak dan berhias seperti perempuan dan yang memakai pakaian perempuan. Semua yang dilakukan lelaki atau wanita itu adalah haram dan dikutuk, bukan saja tidak akan masuk syurga malah tidak dapat mencium baunya, sedangkan bau syurga boleh dihidu dari jarak yang jauh.
Akan berlaku perpecahan di kalangan umat Islam mengenai akidah kepercayaan dan amalan agama, seperti yang berlaku kepada kaum Bani Israil, pada hal perpecahan sedemikian bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar.
Semua puak yang berpecah itu salah dan sesat kecuali satu saja, iaitu puak yang tetap menurut jalan pimpinan Rasulullah s.a.w. dan bawaan sahabatnya, dengan tidak mengurangi, menokok tambah atau menyelewengkan sedikit pun.
Akan timbul dalam kalangan umatnya beberapa puak yang dijalari bahaya penyakit hawa nafsu suka mengurangi, menokok tambah atau menyeleweng dari jalan yang sebenar, seperti menjalarnya bahaya penyakit anjing gila kepada mangsanya.Ingatan tegas dan jelas yang diberikan Rasulullah s.a.w. itu adalah supaya umatnya tetap menurut jalan pimpinannya dan bawaan sahabat-sahabatnya.





Tidak ada komentar:

Posting Komentar